| Ilmu dan Ketamadunan |
|
|
|
| Written by Ir. Izham Hashim | |
|
Saya mulai lembaran ini dengan kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt kerana di atas taufiq dan ‘inayahNya dapat lagi kita meneruskan agenda kehidupan berlandaskan “berlumba-lumba mengerjakan kebajikan” di atas muka bumi ini. Tidak lupa juga ucapan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Muhammad saw, Pesuruh Allah yang amat kita kasihi. Coretan pertama saya di dalam laman sesawang rasmi Ummah Centre ini adalah juga simbolik kepada bermulanya satu era baru kehidupan saya dan rakan-rakan yang bersama dengan saya di dalam melayari satu perjuangan yang dapat menyumbang kepada kema’rufan dan kebaikan di dunia ini. Selepas berbincang panjang, merenung, menilik bersama teman-teman dan diikuti dengan solat istikharah dengan penuh syahdu, kami menawarkan Pusat Kecemerlangan Ummah atau Ummah Centre sebagai pemangkin kepada pemerkasaan dan pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat dalam usaha berterusan membina masyarakat madani. Niat kami yang begitu gah kami mulai dengan langkah yang kecil dan kerdil. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sedikit yang ada di dada-dada kami, kami tetap yakin “perjalanan seribu batu bermula daripada langkah yang pertama” dan “Rom tidak dibina dalam masa 1 hari”. Sehubungan dengan itu, kami sedar betapa keperluan menyusun dan memulakan langkah walaupun sangat sederhana, dan seterusnya beristiqamah (konsisten) di dalam usaha menggapai cita-cita yang murni dan besar ini. Kita tidak boleh putus asa di dalam kembara yang jauh dan amat mencabar ini kerana gagal bukanlah satu pilihan. Setiap kali jatuh kita kena bingkas bangun kerana harapan ummah yang besar yang diletakkan ke atas batu jemala kita tidak mengizinkan kita untuk berehat panjang. Malah jika kita gugur di pertengahan jalan sekali pun, mesti ada yang menyambut dan meneruskan perjuangan ini. Justeru itu, kita doakan kekuatan dan kesabaran daripada Allah swt sentiasa. Ummah Centre ditubuhkan bagi menjadi pemangkin, fasilitator dan platform kepada pengembangan dan pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat. Kekuatan ilmu menjadi pra syarat kepada ketinggian dan keutuhan mana-mana tamadun bangsa. Islam mengajar kita “bacalah dengan nama Tuhan kamu yang menjadikan …..” lantas menekankan bacaan dan ilmu sebagai asas kepada mengenal Tuhan, agama dan kehidupan. Ummah Centre akan berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan dan kaedah bagaimana ilmu yang bermanfaat dan aula dapat diterokai, dikaji, dianalisa, dicanai, dikupas, didiskusi, dikongsi dan dikembangkan, di samping menghubung dan menghimpun para ilmuan, cendekawan, akademik, ahli-ahli politik, profesional, aktivis sosial malahan insan marhaen yang peduli tentang ilmu dan ketamadunan ummah dan bangsa bagi tujuan menyumbang tenaga dan buah fikiran di dalam menjana pembinaan tamadun yang kita cita-citakan. Kita perlu insaf kepada kekurangan dan kelemahan yang ada sebelum kita dapat melonjak ke tingkat kejayaan dan kehebatan. Kita terlalu banyak kekurangan kerana kita telah terlalu lama hidup leka dan alpa kepada tanggungjawab asas di dalam membina tamadun untuk generasi kita akan datang. Banyak masa kita habiskan kepada perkara-perkara yang tidak signifikan dan membantut pengembangan minda dan keilmuan. Kita lebih gemar mengembangkan nafsu dan perut kita daripada menitikberatkan perkembangan ilmu dan iman. Kita masih ada masa walaupun “sudah duduk baru tengadah” dan insyAllah masa yang tinggal sedikit ini biar kita manfaatkan sepenuhnya kepada memenuhi tuntutan sebagai khalifah di muka bumi dan sebagai ummatan wasatan agar misi kita terlaksana jua akhirnya. Tugas dan amanah ini bukan tanggungjawab saya seorang atau kami semua di Ummah Centre sahaja tetapi juga anda semua di luar sana, dan dalam apa jua bentuk yang termampu. Biarlah kejayaan Ummah Centre ini menjadi kejayaan ummah yakni kejayaan kita semua dan bukan untuk dinikmati oleh segelintir individu yang bernasib baik sahaja. Kami telah bersedia, bagaimana anda?
|
|
| Last Updated ( Monday, 17 August 2009 ) |
| Next > |
|---|






![]() | Today | 11 |
![]() | Yesterday | 32 |
![]() | This week | 70 |
![]() | This month | 247 |
![]() | All | 10500 |